Friday, June 22, 2012

Hijrah Daripada Maksiat Kepada Taat

Peringkat pertama buat maksiat, hati resah gelisah. Hati tertolak dan terasa amat tidak sesuai dengan fitrah. Terasa wajah dan air muka diconteng arang. Alhamdulillah.


Peringkat kedua terlibat, terasa hati kian jinak dan berkehendak kepada maksiat. Makin akrab walau masih ada rasa malu dan ragu. Bangkai maksiat masih cuba disembunyikan sedaya mampu. Terasa hina andai ada yang mampu menghidu diari hidupnya yang tercalit dosa dan noda. Semoga Allah melimpahkan taufiq hidayahNYA.


Peringkat ketiga, maksiat kini terasa kian lazat. Terasa alah bisa tegal biasa. Sudah mula ketagih sehingga sanggup berusaha meneruskan maksiat walau ada halangan. Masyaallah.


Peringkat akhir, teringin nak ajak orang lain ke arah kemungkaran. Terasa ingin mempromosikan dan mengkomersialkan maksiat. Rasa malu dan iman sudah tercabut dari hati. Nauzubillah.


Sebelum sampai kepada peringkat kedua dan seterusnya, jadikan rasa resah sebagai benteng dan tembok agar mampu berhenti terus. Moga taat mengambil alih tempat maksiat, Insyaallah.

Muhasabah diri.



Disunting oleh Zhafry Hakim
2 Syaaban 1433 = 22 Jun 2012 / Jumaat   

Tazkirah - June 22, 2012 - Friday


Thursday, June 21, 2012

Elak Bertaubat Sambil Lewa


Al-Ghaffar, bermaksud Allah Maha Pengampun, yakni Allah amat suka hambaNYA yang telah berbuat dosa atau kesalahan selain dosa syirik, yakni menyekutukan Allah dengan sesuatu.

Bagaimana jahatnya manusia, bagaimana banyaknya dosa, apabila meminta ampun atau bertaubat kepada Allah, maka Allah Yaha Maha Ghaffar akan member keampunan dan taubat kepadanya. Allah sangat suka kepada orang yang minta ampun dan bertaubat.

Orang yang merasa dirinya bersalah dan berdosa diperintahkan oleh Allah supaya segera bertaubat dan minta ampun sebelum maut. Apabila maut datang sebelum minta ampun dan bertaubat maka tidak dapat ditolong lagi. Masuklah ke dalam neraka untuk diseksa akibat perbuatan dosa yang pernah dilakukan selama hidup di dunia.

“Kembalilah kepada Tuhanmu (bertaubatlah), dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang kepadamu, (atau mati), sehingga kamu tidak dapat ditolong lagi…” (Az-Zumar: 54)

Masih ada di antara kita yang ragu-ragu sama ada dosa-dosa kita benar-benar telah diampunkan. Keraguan lazimnya disebabkan dua perkara :-
1.      Mungkin kerana besar dan banyaknya dosa atau kejahatan yang sudah dilakukan selama ini.
2.      Mungkin kerana ada jenis dosa dan kesalahan yang dilakukan berulang-ulang.

Apakah dosa yang begitu besar dan banyaknya, dan dilakukan berulang-ulang itu dapat diampuni oleh Allah semuanya?
Rasululullah bersabda “ Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, sekiranya kamu bersalah, sekalipun kesalahan itu memenuhi ruang antara langit dan bumi banyaknya, kemudian kamu minta ampun kepada Allah, Allah akan mengampuni kamu. Dan demi Tuhan yang jiwa Muhammad SAW di tanganNya, sekiranya kamu tidak bersalah, tetapi ada sesuatu kaum yang melakukan kesalahan, mereka minta ampun kepada Allah, maka Allah akan memberikan ampun kepada mereka.” (Hadis diriwayatkan oleh Ahmad daripada Anas Bin Malik r.a.)

Jelas dengan ayat Allah dan Hadis Rasulullah SAW menerangkan kepada kita bahawa bagaimana pun dosa besar dan banyaknya dapat diampun oleh Allah bila seseorang itu mengakui akan dosanya lalu minta ampun kepada Allah.

Ada dua perkara penting mengenai hal yang perlu kita teliti atas diri kita masing-masing:-
1.      Sudahkah kita minta ampun dan bertaubat atas segala dosa yang kita lakukan? Jika belum, jangan sampai terlambat sebelum Malaikat Izrail datang mengejut. Dan kalau sudah bertaubat dan minta ampun, maka renungkanlah masalah yang kedua pula.
2.      Bagaimana caranya kita minta ampun dan bertaubat itu? Apakah cara sambil lewa sahaja dengan mengucapkan “Astaghfirullah” berpuluh atau beratus-ratus kali setiap hari? Apakah meminta ampun dan taubat sambil lewa itu dapat diterima oleh Allah sehingga dosa kita dihapuskan seluruhnya?

Ikuti cara Rasulullah dan para Sahabat bertaubat dan minta ampun, maka tidak mungkin taubat dan minta ampun kita yang sambil lewa itu dapat diterima oleh Allah. Sebagaimana Firman Allah menyatakan dalam Surah An-Nisa’ ayat 17 dan 18 maksudnya,
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang ikhlas (taubat yang sebenarnya), mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan segala dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir padanya sungai-sungai.”
“Sesungguhnya taubat (yang diterima oleh Allah) hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan dengan kebodohan, kemudian mereka segera bertaubat. Maka mereka itulah yang akan diberi ampun oleh Allah, kerana Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”
“Dan tidaklah diberi taubat bagi orang-orang yang melakukan kejahatan-kejahatan, sehingga sesudah dekat (nazak) mati baru dia bertaubat dengan berkata: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang, dan tidak pula diberi taubat pada orang-orang yang mati dalam keadaan kafir. Bagi mereka disediakan azab yang pedih.”

Kadang-kadang manusia terlalu tidak menghargai, atau kurang menilai tinggi ke-Ghaffaran Allah, sehingga mereka menunda-nunda masa untuk minta ampun atau bertaubat. Berbagai gurau senda keluar daripada mulut mereka, sebagai contoh, “Allah kan Maha Pengampun, nanti bila kita sudah tua atau telah bersara, kita akan habiskan sisa-sisa umur kita untuk minta ampun sahaja kepada Allah, kita akan di surau atau di masjid sahaja sampai mati, dan sebagainya helah mereka menunda-nunda hal taubat dan minta ampun ini.

Orang yang banyak melakukan berbagai kesalahan, kejahatan dan dosa adalah orang yang amat dibenci oleh Allah. Tetapi bila orang yang dibenci oleh Allah itu sedar, menyesali akan perbuatan jahatnya lalu minta ampun dan taubat kepada Allah dengan sepenuh hati, dengan sebenar-benar taubat, maka Allah amat suka dan senang terhadap orang itu.

Iblis dan syaitan amat kecewa bila seseorang yang telah dijerumuskannya sehingga sampai melakukan berbagai-bagai dosa lalu mereka minta ampun dan taubat kepada Allah. Inilah kelemahan iblis atau syaitan. Sifat Allah yang Maha Ghaffar inilah yang paling mengecewakan iblis atau syaitan tersebut, maka iblis atau syaitan itu benar-benar berjuang untuk menutupi pintu kesedaran manusia yang telah dijerumuskannya supaya mereka jngan mahu mengakui kesalahan dan enggan minta ampun dan bertaubat, inilah manusia yang paling malang jadi manusia.

Disunting oleh Zhafry Hakim.

About Me

My photo
~Bachelor of Human Sciences (Psychology)(Honours) IIUM (2012)~ ~Fluent in Malay, English & Arabic~

Followers